Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Sunday, April 23, 2017

Solat di masjid : Tatkala airmata mula bergenang

Saya ke masjid sebagai rutin mengikut suami untuk solat maghrib dan isya'. Ianya bukanlah yang kerap saya lakukan. Jika stamina selepas seharian bergelut dalam dunia kerja masih berbaki, alhamdullah jejak saya singgah untuk sujud di masjid. Jika tidak, alhamdulillah 'ala kulli hal...saya 'terperap' di rumah menyusun kembali muhasabah dan ritual beribadah sendiri.

Namun pengalaman semalam, menyentap ketenangan yang selama ini tidak saya singkap sedalamnya. Fokus saya tidak banyak pada jemaah masjid, yang mana semua yang hadir saya kira mengejar pahala ibadah sebaik-baiknya.

Sebelum waktu isya' berjemaah semalam, seorang ibu tua yang agak uzur masuk ke saf hadapan. Mengisi ruang yang telah dibentangkan sejadah buatnya. Saya tidak mempedulikan fokus saya pada ibu tersebut pada mulanya. Namun selepas penyusunan jemaah mengisi ruang kosong sebelum solat bermula,  Allah letakkan posisi saya berdiri qiyam di sebelah ibu tua itu.

Kebetulan surah-surah yang dibaca imam adalah berkenaan ingatan Allah untuk kita tidak lupakan 'hari esok'; untuk kita bersedia; jangan biarkan harta dan anak-anak menyebabkan kita lupa dari mengingati Allah swt.. ibu tua di sebelah saya ini, bergerak dari satu rukun ke satu rukun dengan postur yang payah sekali. Saya bagai terkedu dalam diam. Pukulan 'keinsafan' yang sangat dalam. Saya sebelum ini selalu menyangka sakit belakang saya sudah begitu teruk yang kadang-kadang menyebabkan saya memerlukan kerusi untuk tunaikan solat.

Namun, memerhati secara tidak langsung ibu tua itu bersungguh-sungguh dalam solatnya walaupun begitu payah untuk beliau lakukan terutama dari sujud ke qiyam...air mata saya mula bergenang.

Benarlah... bahawa apa yang kita lalui hari ke hari; sebahagiannya semakin pudar dan telahpun menemui 'kematiannya'. Berpuluh tahun dulu, ibu tua ini pasti juga seperti majoriti kami. Mampu bergerak dengan mudahnya..namun apa yang mudah itu pada hari ini, sudah tidak ada.

Saya menyeru pada diri saya dan sahabat-sahabat yang sudah menganjak ke fasa usia tua. Tinggalkanlah permainan TV dan golf, tinggalkanlah stadium dan bicara kosong, tinggalkanlah masa yang tiada hubungan dengan akhirat. Masa kita yang berbaki terus semakin sedikit..dan tiada pula masa yang pasti sempurna untuk kita lakukan kebaikan. Betapa saya mengharapkan kehadiranmu dalam majlis-majlis ilmu yang turut saya hadiri. Allahul musta'an..




Tuesday, April 11, 2017

Surah AlMulk

Tafseer Surah AlMulk adalah antara ilmu yang paling berharga utk dihayati. Peluang mendengar sekali lagi tafseer itu melalui pendekatan oleh Bayyinah, membuka lembaran yang selama ini tidak saya ketahui.

Allah memulakan ayat ini dengan 'tabaraka' ..perkataan yang mempunyai makna yang sangat mendalam untuk menggambarkan kekuasaan dan keagungan Allah swt. Ia merangkumi segenap kebesaran, kerajaan mutlak yang tidak ditandingi oleh mana-mana makhluk.

Sesuatu kerajaan yang semakin melebar empayarnya, terdedah kepada ketidakstabilan, namun Allah menjelaskan dalam ayat pertama ini juga bahawa kerajaanNya adalah ditanganNya; dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Kedua-duanya dalm peringkat makriskopik dan mikroskopik, dikuasai sepenuhnya oleh Allah SWT dengan penuh sempurna.

Dimensi 'kerajaan' untuk manusia yang sebenar adalah kurniaan Allah swt, bukan sekadar pada faset fizikal yang dilihat oleh manusia. Demikian bagaimana Nabi Yusuf a.s yang sebenar di sisi Allah swt, bukan hamba yang dijual beli dengan harga murah, yang kemudian dipenjarakan atas kesalahan yang tidak pernah dilakukannya. Atau antara nabi Musa a.s dengan firaun; serta para sahabat ahli badar yang hanya berjumlah 313 berdepan dengan kekuatan 100 tentera musyrikin.

Langkah demi langkah, bersama kombinasi waktu yang telah berlalu. Baru saya faham, bahawa perjalanan kehidupan di dunia ini semakin' mereput' dengan berlalunya waktu serta dekatnya seseorang dengan kematiannya. Allah sebut kematian terlebih dahulu, untuk memberikan kita peringatan bahawa kematian itu sangat dekat. dan kematian itu bukanlah fasa terhentinya satu kehidupan yang sedang dilalui, namun fasa baru yang membawa seseorang hamba untuk diadili sama ada berjaya ataupun tidak.

Semakin meningkat usia, semakin sedikit ruang yang berbaki. Berdoalah pada Allah swt, moga usia yang berbaki ini di penuhkan dengan keutamaan mencari redhaNya.