Semasa saya di pentas peperiksaan SPM 1986 dahulu, itulah mungkin satu dari perjuangan-perjuangan yang sering saya dengar konotasinya dalam perjalanan kehidupan ini.Era yang dikatakan 'menentukan' tempat di universiti atau juga saingan untuk mendapat tempat dalam memilih haluan kerjaya pada masa depan.
Apabila disebut perjuangan, minda kita nyata terkalih pada satu dimensi yang mana cabaran, halangan serta fokus mencapai sesuatu yang tidak terbatas pada apa yang ingin disempurnakan sebagai kejayaan diri sendiri. Dalam skop kefahaman seseorang muslim di negara ini pula, majoriti mempunyai persepsi bahawa dimensi haraki, tanzim dan siasah politik pula menjadi satu lagi dimensi yang sering diwar-warkan untuk diceburi bagi sesiapa yang inginkan hidupnya 'dikorbankan' dalam makna perjuangan.
Saya tidak begitu 'obsess' tentang apa yang disebut perjuangan, namun saya tahu bahawa setiap saat yang kita lalui ini merupakan pilihan sama ada memilih untuk mendapatkan redha Allah atau menolaknya....lalu hidup dalam keadaan nista dan dimurkaiNya. Fokus perjuangan hakikatnya merupakan 'ibadah hati yang memerlukan fokus ikhlas (tauhid sebenar kepada Allah SWT). Ia bukan rhetorik, bukan pula arahan jema'ah atau memandang sesuatu yang bersifat perjuangan dalam sesuatu organisasi sangat besar skala taklifnya berbanding perkara-perkara lain dalam kehidupan.
Ada masa, sesuatu dimensi dalam kehidupan ini digarap dalam perspektif yang bukan kebiasaan. Ada di kalangan kita yang 'mengorbankan' kerjaya demi keluarga dan anak-anak, tidak kurang saya ketahui barisan pemuda-pemuda yang kental jiwanya 'mengorbankan' masa muda, kerjaya dan hidup berkeluarga demi ibubapa yang uzur serta mengambil tanggungjawab membela adik-adik yang masih 'bertatih'... dan tidak kurang mereka yang melepaskan segala 'peluang-peluang' dalam membina kerjaya demi kasih kepada insan-insan yang sangat mereka kasihi seperti yang diamanahkan oleh Allah SWT..
Andai perjuangan itu didefinisikan sebagai konotasi mengangkat kepimpinan islam atau membina masyarakat muslim sahaja, tetapi meninggalkan asas-asas adab sebagai muslim dalam menyelesaikan tanggungjawab diri dan keluarga, saya berpendapat ianya ketidakseimbangan dalam mengambil makna sebenar sebuah perjuangan.Sambil tidak menafikan pentingnya sumbangan siasah politik yang dididik melalui Quran dan sunnah serta 'perjuangan' untuk memilihnya dalam konteks kebaikan masyarakat muslim...sesuatu kepimpinan dan asas terjemahan sebagai muslim tidak akan terjadi jika pengetahuan dan terjemahan kehidupan berasaskan pengetahuan alquran dan sunnah tidak sempurna. Berapa ramai yang begitu rhetorik lidahnya, namun sambang amalan adab dan lisan percakapannya..berapa ramai yang dilihat komited dalam amalan jama'i tetapi sombong dalam muamalah keluarga sendiri..betapa pula yang mengangkat dirinya dengan liputan amalan-amalan kebaikan tetapi tidak segan 'menindas' emosi dan perasaan insan-insan yang pernah berbudi padanya..
Perjuangan itu wujudnya di mana-mana jua dalam kehidupan ini. Selagi belum sampai ke garis 'penamat'(kematian) di situlah setiap insan akan terus berjuang mendapatkan apa yang diinginkan. Andai kehidupan dianggap sekadar kehidupan untuk dinikmati semata-mata tanpa tujuan atau sekadar memuaskan hatinya... maka jadilah kehidupan itu seperti makan minum haiwan ternakan.
Namun kehidupan penuh kebaktian ini adalah mendasari keyakinan lidah dan hati terhadap keimanan kepada Allah, hari akhirat, rasulullah SAW, para nabi, alquran, malaikat dan qadha' dan qadar serta ia diterjemahkan sepenuh dengan penuh adab dan akhlak mematuhi apa yang disuruh Allah dan Rasulullah SAW untuk dilakukan.
Sesungguhnya kekuatan memegang 'panji' perjuangan bermula dengan kefahaman jitu isi-isi AQuran dan kurikulum sunnah serta para sahabat. Perjuangan bukan rhetorik memegang bendera, mikrofon atau sekadar berslogan di tepi jalan...
No comments:
Post a Comment