Ingatan yang masih kekal berbekas dalam kembara yang diziinkan Allah untuk saya lalui setahun lalu, menggamit rindu demi rindu untuk kembali melalui pengalaman sebuah kembara suci. Padanya terhimpun motivasi dan aura teladan...sumber ilham yang saban mengingatkan apabila diri diuji dan dilanda pelbagai keributan. Saya rindukan dua tanah suci, rindukan perjalanan yang membawa kembara hati 'dekat' menuju Allah SWT, rindukan suasana yang meremukkan 'keegoan' dan dendam, juga rindu benar untuk melalui kembali ritual-ritual yang membawa saya kenal pelbagai insan yang singgah bertandang membawa perkenalan.
Kembara yang dihadiri bersama bekal, juga padanya terdapat bekalan-bekalan untuk dibawa kembali dalam 'kehidupan' sebenar (apabila berada di luar musim haji)...yang mana juga, itulah bekal 'hakiki' yang bakal dibawa 'pulang' tatkala berhadapan secara sendiri-sendiri di hadapan Tuhan Rabbul Jalil... penuh iktibar dan juga membawa diri yang pernah merasainya (melalui kembara) untuk terus bermuhasabah demi bermuhasabah.
Tatkala saya merenung jam ketika ini, di Tanah Suci Makkah pada waktu ini juga, para jemaah haji kini sedang bergerak menuju ke Mudzalifah dan kemudian ke Mina. Perjalanan berbentuk fizikal itu bagi saya juga merupakan satu manifestasi 'ibadah hati'... yang mana pengorbanan demi pengorbanan dalam melaluinya dengan penuh emosi, kekuatan psikologi dan apa yang termampu digalas.
Itulah juga sebahagian dari wadah yang perlu juga untuk kita renungkan dalam memuhasabah kembali diri akan nilai pengorbanan yang selama ini dilakukan penuh rela dan redha di hati.
Apa sebenarnya dalam kehidupan ini telah kita 'korban'kan sepenuhnya dengan rasa sukar (terasa seperti terpaksa) mahupun penuh kerelaan demi meraih redha dan rahmat Allah SWT..? Andai manifestasi perjalanan (dalam kembara haji) mahupun juga sedikit wang utk korban haiwan ternak sebagai ritual kita dalam syarat muslim meraikan hari raya korban penuh mulia ini, namun keinsafan dalam meng'internalisasikan' hakikat pengorbanan sebenar melontarkan jiwa ini kembali merenung jauh... Andai kerinduan saya pada manifestasi fizikal 'ibadah haji dan umrah begitu menggunung nalurinya, bagaimana pula 'aura pengorbanan' yang nyata perlu didahulukan dengan segenap rindu demi rindu pada kebaikan...?
Bumi Arafah, Mudzalifah dan Mina serta sekitar masjidilharam, adalah medan yang mendidik manusia dalam menilai 'erti pengorbanan' dalam kehidupannya...
No comments:
Post a Comment