Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Tuesday, May 28, 2013

'Kembali' ke pangkuan bonda..

Alhamdulillah...Allah dekatkan saya dengan insan yang paling saya kasihi. Meskipun sekian lama sebelum ini, betapa saya mengharapkan untuk dekat buat berbakti semasa sihatnya.

Sesungguhnya ruang seperti ini tidak pernah saya terfikir tentangnya...saya sebelum ini kehilangan idea untuk meluahkan siratan rasa, dengan pelbagai perasaan dan tanggapan. Yang saya sendiri kadang-kadang seperti 'melatah' dalam menelahnya.

Ibu saya yang kini dalam keadaan separuh sedar akibat sakit angin ahmar yang ditanggungnya... kini mengharap sepenuhnya kasih sayang kami anak-anak. Betapa runtunan tulisan atau bicara yang pernah saya kongsikan, kini menjadi medan kekal dalam perjuangan waktu demi waktu untuk saya laluinya dengan izin Tuhan yang Maha Pengasih. Allahu akbar, betapa rahmat seperti ini, mengajar saya erti realiti dan juga untuk tidak lagi 'bermimpi'.

Dengan rahmat Allah jua, yang menghantar ibu saya ke teratak yang tidak sepertinya ini. Teratak seadanya dalam menghimpun kasih kami adik beradik serta anak cucu di sisi insan yang pernah membelai dan menghargai kehadiran kami di sisinya. Puluhan tahun berbakti dalam medan perubatan, mungkin di sinilah antara persinggahan paling agung untuk saya meluangkan terjemahan ilmu yang pernah dipelajari satu ketika dahulu.

Sesungguhnya...saya pernah berbicara tentang 'tiket-tiket' yang 'ditawarkan' Allah untuk insan-insan ke syurga; antaranya tiket untuk mereka yang ikhlas berbakti kepada salah seorang atau kedua orang tuanya. Alhamdulillah...syukur di atas rahmatNya yang 'menghantar' ibu kembali ke pangkuan saya pada usia-usia kami seperti ini..

No comments: