Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Sunday, June 16, 2024

Hakikat pengabdian kepada Allah

 Praktis ubudiyah  kepada Allah adalah rahsia, hanya kita dan Allah sahaja yang mengetahuinya. Jauh sekali untuk dipertontonkan agar semua orang tahu. 

Tak mungkin kita dapat melakukan ibadah tanpa pertolongan dari Allah swt.

Berhentilah menganggap bahawa ibadah itu merupakan usaha kita semata-mata. tanpa izin dan dipermudahkan Allah swt melalui pertolonganNya, semuanya terkandas dan menjadi debu berterbangan.

Dan setiap yang kita lakukan, pasti dihitungNya.

لقد أحصاهم وعدهم عدا (Maryam ayat 94)

تقبل الله منا ومنكم

Eid Adha Mubarak 1445 (2024)

Friday, June 14, 2024

Quran dalam kehidupan - bukan bacaan tanpa erti

 Apa perasaan kita bila membaca sesuatu bahan bahan bacaan tanpa faham sepatahpun perkataannya? Bagaimana pula jika ada yang berkata, buku ini penuh keajaiban; fizikal dan spiritual. Penuh kebesaran Tuhan Maha Pencipta. Namun, kita sedikitpun tidak pernah tahu isinya. Adakah kita bersetuju dan merasai sejujurnya buku itu merupakan sesuatu yang luar biasa? Dapat pula memberikan kita bimbingan apabila membacanya secara langsung?


Kita selalu mengambil jalan menyerahkan sepenuhnya pada golongan berpendidikan agama untuk mengajarkan kita isi Alquran dan hadith. Untuk jadi muslim, kita diajar untuk belajar. Kita diajar untuk mempunyai guru.


Namun guru-guru kita juga ada yang sebahagian tidak memahami teks Alquran dan Hadith secara langsung dalam bahasa Arab. Mereka juga bergantung kepada naskah dan teks ulasan agamawan. Sebahagian mereka pula mempunyai interpretasi berbeza. Ada pula yang membawa kepada perselisihan pendapat sehingga berdebat pada isu yang bukan pokok.


Yang faham Bahasa Arab pula, tidak memotivasikan kita untuk belajar untuk faham. Sekadar belajar untuk bercakap, menulis atau menterjemahkan teks.  Kita tidak ada suasana yang ‘mewajibkan’ kita belajar bahasa Arab untuk faham Al quran.


Resmi kita di benua sebelah sini, dididik membaca dan mengenal huruf dalam alquran sejak sejak kecil. Ada yang bermula di bangku sekolah. Ada pula yang bermula seawal usia tadika. Bergantung pada keutamaan pendidikan ibubapa dalam keluarga muslim.


Jika dari kecil tidak didedahkan dengan muqaddam atau quran, pergi sekolah, hadir subjek quran…seringnya secara senyap-senyap ‘terjemahkan’ pula sebutan quran dalam bahasa arab itu dalam tulisan rumi. 


….. bismillahirrahmanirrahim dan seterusnya ayat-ayat aluran yang dirumikan… Sesungguhnya ini bukan bahasa asal alquran.


Hilanglah perkataan asal dan susunan tajwid mahupun wakaf/ ibtida’. Meskipun pandai menyebutnya, kekal untuk langsung tidak difahami. 


Apabila kita beransur tua, tak pandai baca quran atau mengenal tajwid, namun kebanyakan kelas quran tidak menekankan peri pentingnya kita memahami bahasa Al quran. Jadinya… kita ini bagaimana dan di mana?

Zulhijjah 1445

 Hari ini jemaah haji mula bergerak ke Mina dan Arafah. Kita yang berada di luar zon haji, melalui hari-hari terbaik dalam bulan yang terakhir kalendar hijrah.

Jom kita memurnikan tekad untuk memahami Alquran. Moga ia menjadi hadiah paling bermakna sempena bulan haji 1445 ini.