Lalu takdir yang Maha Kuasa menentukan berakhirnya kasih sayang kami di dunia, almarhumah bonda telah dijemput kembali ke sisi ilahi pada pagi Ahad 18 September lalu. Tempoh sakitnya yang dilalui selepas dua episod strok yang agak tenat. Terlantarnya dalam kesunyian dalam diam yang panjang. Tanpa bicara dan suara. Atau juga pada isyarat yang mungkin mendekatkan perasaan dan aura.
Juga berlalulah episod kembara saya mengejar tiket keretapi atau dengan kenderaan sendiri mengisi waktu-waktu di celah kesibukan menjenguknya. Terpatrilah kenangan, rimbunan kasih sayang serta budinya kekal abadi di dalam hati. ...yang pastinya tidak ada insan kedua yang mampu menyamai kasih sayangnya yang tidak bersyarat.
Hati saya berbolak balik tatkala menuliskan ini. Betapa dekatnya kasih bonda di hati ini... demikian wujudnya seorang ibu di hati majoriti kita. Tidak ada pula insan-insan lain yang lebih dekat di hati berbanding hampirnya seorang ibu dengan anaknya.
Kenangan demi kenangan bersilih menunggu giliran. Dari waktu ke waktu menelah setiap detik yang mampu saya ingati. Satu peristiwa apabila saya masih berada dipangkuannya ketika masih menyusu. Juga kasih sayangnya yang tidak pernah penat apabila membelai dan mencekang mata tatkala saya merengek sakit demam atau kesakitan akibat sedikit luka atau cedera. Juga semasa saya disuapnya atau tatkala menunggu waktu rehat di tepi pagar sekolah dengan sepinggan nasi dan ikan goreng.
Sungguh kasihnya tiada syarat. Tidak ada rungutan. Tidak ada kalimah satu persatu untuk mengungkit kesusahan demi kesusahan yang dilaluinya. Adakala saya gagal meneladani bicara tindakannya. Adakala juga leterannya tidak saya fahami atau terkadang menyesakkan emosi...namun itulah juga yang saya warisi pada usia sebegini.
Dengan kami sembilan beradik di sisinya (almarhumah kakak ketika itu di kampung berkongsi kasih dengan keluarga nenek saudara)...kehidupan kami sekeluarga ketika usia saya sebagai kanak-kanak begitu 'humble' dan sederhana. Meski susah sekalipun...Allah anugerahkan kami rezeki untuk dikongsi. Itu sudah cukup mengajar saya tentang erti syukur dan menghargai apa jua yang ada.
Almarhumah bonda juga tidak pernah jemu payahnya membantu arwah abah melalui jualan kuih muih atau nasi lemak untuk dijual. Saban pagi tidak pernah lupa bangkit sebelum subuh menyiapkan segalanya. Atau menyiapkan pintalan ais krim Malaysia pada waktu siangnya. Indahnya kenangan tatkala saya termenung menunggu bungkusan-bungkusan nasi lemak untuk dibeli hampir setiap pagi. Atau juga menghitung entah bila bungkusan kerepek ubi atau kuih siput dalam beg sekolah saya akan habis untuk dijaja. Atau pada hasil buah-buahan dari kebun untuk dikongsi bersama kawan-kawan sekolah pada harga yang sangat murah.
Sungguh...kasih sayang almarhumah bonda tidak bersyarat.
Airmata saya sering bergenang tatkala mengenang kesusahannya berdikit tatkala membesarkan kami atau berdoa serta berpuasa mendoakan kami setiap kali menduduki peperiksaan. Dirinya yang sentiasa diilhamkan naluri untuk menyediakan masakan setiap kali anak cucu singgah bertandang. Atau berjaga hampir sepanjang malam semasa malam menyambut raya atau sebarang keramaian keluarga.
Doanya yang berkali-kali disebut...Mak doa semua anak-anak mak dapat pergi haji.
Cuma saya tidak tahu mengapa almarhumah bonda menyebut beberapa kali tentang tapak tanah rumah yang pernah dicagarkan sebagai jaminan perniagaan salah seorang dari kami meskipun ia sebenarnya telahpun lama dulu ditebus. Saya harap untuk tidak pernah tahu tentangnya... Namun kisah itu diulang-ulangkan bonda entah berapa kali sebelum episod koma dan perubahan drastik akibat serangan angin ahmar 4 tahun dulu.
Sungguh...kasih sayang almarhumah bonda tidak bersyarat.
Saya yang gagal menghargainya tatkala usianya masih ada.