Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Monday, September 1, 2014

Menghormati perasaan 'mereka'….

Siang tadi berlangsung pendaftaran masuk tahun satu ke semua IPTA/IPTS di peringkat ijazah pertama di seluruh negara. Tahniah diucapkan untuk anda yang mendapat tempat untuk terus menyambung pengajian. Satu amanah untuk ditunaikan oleh setiap diri, yang mana tanggungjawabnya bukan boleh dianggap sebagai pilihan iaitu sama ada utk buat betul-betul atau dilayan sambil lewa sahaja.

Seperti juga tahun-tahun sebelum ini, jurusan doktor perubatan merupakan jurusan yang paling utama mendapat perhatian. Sehubungan dengan kriteria pemilihan serta keperluan temuduga bagi sebahagian calon, menjadikan tempat masuk sebagai calon bakal doktor itu menjadi rebutan dan saingan di kalangan ibubapa dan juga pelajar yang berminat.

Sebagai Penyelaras Akademik Praklinikal Program Doktor Perubatan, saya akui bahawa pemilihan tempat pada tahun ini agak sengit. Keputusan mengambil merit dari temuduga dan juga aktiviti kokurikulum menyebabkan sebahagian pelajar yang mendapat 'straight A's' menangis sedih tidak mendapat tempat. Ada juga calon yang mempunyai latarbelakang praperubatan yang sangat baik, namun terdapat aspek-aspek yang dinilai menyebabkan beliau tidak terpilih.

Didokumenkan juga berlaku 'heavy drama' apabila seorang ibu menangis sayu setelah pasangan kembar anaknya yang mendapat nasib tidak serupa. Seorang terpilih, manakala yang seorang lagi tidak. Sudah tentu sebagai ibu, saya turut bersedih dengan keputusan tersebut. Namun apakan daya, sistem yang digunapakai untuk menapis kemasukan perlu dihormati keputusannya.

Ini belum lagi calon-calon yang sekian lama memendam hasrat menjadi doktor namun terkubur apabila ditawarkan jurusan yang jauh berbeza. Tidak kurang juga yang masih dalam senarai menunggu ke IPTA kerana ketidak mampuan keluarga untuk menyara pengajian di IPTS.

Kejayaan diterima masuk ke Fakulti Perubatan bukanlah segala-galanya dalam kehidupan. Ia sekadar platform untuk seseorang terus bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang dicita-citakannya, dan seterusnya menjadi medan untuk kembali berbakti kepada masyarakat.

Setiap bidang selain dari Doktor Perubatan juga mempunyai nilai setara yang sangat tinggi dalam pembangunan tamadun dan spiritual masyarakat. Setiap kitalah juga yang perlu memurnikan usaha tersebut ke arah manfaat yang dikongsikan bersama masyarakat, BUKAN untuk dibangga-banggakan sehingga mengganggu perasaan individu lain.

Wajar untuk kita menghormati perasaan anak-anak yang tidak terpilih ke Fakulti Perubatan. Tidak ada bezanya tahap elitus bagi yang terpilih mahupun tidak melainkan kemuliaan hati mereka yang diiktiraf di sisi Tuhan Rabbul jalil… Sudah pasti, mereka yang terbaik adalah mereka yang paling bermanfaat kepada insan sejagat...

No comments: