Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Saturday, June 7, 2014

Tentang DNA babi, gelatin babi, halal dan persepsi...


I - DNA Babi

Isu halal sesuatu produk makanan terus mewarnai situasi berita dan cerita. Lazimnya juga berita seperti ini sering menarik perhatian masyarakat muslim..banyaklah hujah, kata kritik dan komen serta puluhan maklumat dan info yang terus menjadi rantaian untuk dihebahkan sesama sendiri.

Berita tentang pengesanan DNA babi dalam produk coklat syarikat tempatan bagai letupan 'bom jangka' dalam isu halal di negara ini. lebih musykil apabila pengesanan tersebut dikesan melalui prosedur oleh Kementerian Kesihatan yang selama ini lebih menitikberatkan isu kesihatan dan perlanggaran label dalam sesuatu produk makanan.

Pengesanan DNA babi hanyalah pengesan 'tracing' bahan yang mengandungi genetik babi yang mana perkara yang perlu kita semua ketahui ialah pengesanan DNA sesuatu organisma biasanya menggunakan kaedah amplifikasi gene seperti PCR (polymerase chain reaction) yang mana ujian berkenaan tidak spesifik serta terdedah kepada kemungkinan kontaminasi silang mahupun pencemaran dalam rantaian pemerosesan makanan.

'Takut'nya majoriti muslim negara ini dengan wujudnya unsur mengandungi babi, membawa pelbagai implikasi dan polemik dalam menangani urusan seharian. Bukan sekadar pengutkuasaan dan fatwa serta penswastaan prosedur pengiktirafan halal, fokus babi dalam makanan membawa kepada pelbagai penyelidikan, rekaan teknologi kit saintifik mengesan DNA serta proses komersil produk-produk berkenaan untuk menyokong indistri halal negara.

Apabila berita pengesanan DNA babi dalam produk makanan ringan itu tersebar, saya secara peribadinya tidak setuju cara mana kes tersebut dikendalikan. Di dalam hati, saya masih tidak faham mengapa isu berkenaan diberikan perhatian begitu 'menggunung' sekali berbanding isu mereka yang mengambil gaji secara 'tidak halal'.

Dua calon Sarjana yang saya hadiri peperiksaan tesis GAGAL dengan teruknya dalam peperiksaan viva mereka. Bermula dengan tajuk dan objektif yang tidak seragam sehingga membawa kepada pendedahan metod penyelidikan yang salah serta kesimpulan penyelidikan yang tidak tepat. Ironinya…di tesis mereka ada tandatangan dua professor yang mengaku menjadi pensyarah pembimbing; dan dalam pembentangan tresebut pelajar-pelajar yang gagal itu memaklumkan bahawa tesis mereka selama ini dibimbing oleh individu lain bukan oleh dua professor berkenaan. Situasi yang bagi saya teruk tercemar dengan sikap dan falsafah yang lebih jijik dari kontaminasi DNA babi.

II - Gelatin babi

Nyata berita ini http://www.astroawani.com/news/show/bahan-berubah-sifat-boleh-jadi-halal-jika-diproses-dr-asri-37362 membawa kesan 'domino' yang tidak sedikit.

Kita semua mengetahui betapa sentimen kehalalan produk makanan terutama gelatin dalam industri farmaseutikal begitu hebat diperbahaskan.Itulah juga yang membawa kepada wujudnya industri gelatin halal serta perlbagai produk sokongan lain.

Andai gelatin babi difatwakan halal oleh badan berkenaan di negara ini, bayangkan implikasi terhadap industri gelatin halal serta produk berkaitan secara keseluruhannya. Saya menjangkakan berlaku 'letusan perang saraf' untuk terus memutarbelitkan isu ini demi menyelamatkan merudumnya bisnes yang dikatakan berasaskan 'HALAL'…


III - Halal

Halal dan haram secara umum dikaitkan dengan kotoran yang diklasifikasikan sebagai najis.

Konteks halal dan haram bukan terhad pada najis babi sahaja. Rokok yang telah bertahun difatwakan haram, namun tiada siapa yang 'bother' untuk mefatwakan putung rokok, tembakau, asap rokok, nikotin yang mewarnai gigi juga najis sifatnya.

Dan siapa pula 'bother' untuk mengesan DNA tembakau/rokok pada pakaian untuk memastikan kita benar-benar bersih dari najis!!!

IV - Persepsi

Konteks komunikasi dalam era ini terlalu kuat dipengaruhi persepsi. Sehingga membawa kepada keadaan mereka yang tidak mempunytai latarbelakang ilmu dan teknikal mengenai sesuatu perkara juga 'tidak malu' berdebat dan berhujah meskipun tulisan atau lisannya mengandungi fakta-fakta yang tidak memberi markah (andai ia merupakan suatu peperiksaan akademik). Namun persepsi inilah yang banyak mewarnai halatuju polisi dan politik serta 'masa depan' karier seseorang.




No comments: