Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Wednesday, March 21, 2012

Tentang wanita, kerjaya dan KELUARGA...

Saya membenarkan bahawa kita perlu memilih pilihan yang lebih utama, iaitu antara memilih bahagia dengan keluarga atau 'hebat' dalam kerjaya...

Sesungguhnya kerjaya adalah ibadah untuk kita memurnikan laluan mencari rezeki yang halal, disantuni dengan sopan pergaulan serta menurut lunas fitrah seseorang. Insan perempuan yang dicipta Allah dengan kelembutan dan kelebihan untuk mendidik dan mengasuh...kelebihannya adalah berkongsi kasih dan memekarkan pembangunan emosi dan minda anak-anak; sebaliknya insan lelaki dijadikan Allah dengan perwatakan lebih lasak dan mampu bertindak lebih matang dalam meneladani isu-isu luaran dalam konteks mencari rezeki.

Kesilapan dalam mengenal peranan dalam hidup berkeluarga serta keutamaan yang difokuskan, membuka peluang keluarga yang 'tidak sempurna' pembangunannya. Fokus pembentukan keluarga ini pula perlu disantuni dengan serius dan berhati-hati. Kita menyaksikan hasilan dari pelbagai kes-kes yang merentap ketenangan, menyentuh dan menyayat perasaan serta terkadang bagai dirasakan tidak logik untuk itu menjadi kenyataan...

Secara santunnya, wanita berkerjaya perlu diberikan sokongan dari segi emosi, kekuatan jiwa dan minda untuk memastikan pendidikan anak-anak tidak terabai. Janganlah peranan mereka diremehkan dengan seloka dan gurau tawa. Kisah rumah tangga dan pasangan hidup bagi saya perlu dijuruskan pada perbincangan berhemah untuk memperkasakan pendidikan anak-anak generasi yang bakal dilahirkan serta pembinaan keluarga yang diisi dengan kebaikan dan kekuatan.

Sesungguhnya kehebatan dalam kerjaya adalah bonus dalam kehidupan; yang mana boleh ditangguh pencapaiannya...asalkan disiplin dan akhlak dalam mencari rezeki yang halal merupakan laluan diredhai Allah; itu sudah memadai. Biarlah tidak hebat sekalipun..kerana bagi seorang wanita itu sebenarnya, bahagia yang sebenar adalah bahagia di dalam hati suami dan anak-anaknya...

No comments: