Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Sunday, May 15, 2011

Doa buat semua guru-guru yang ikhlas...

Walaupun saya kadang-kadang tidak dikategorikan dalam kumpulan Guru, namun saya suka dan cenderung menggelarkan diri saya juga sebagai Guru. Itulah sebenarnya cita-cita saya yang pertama iaitu ketika mula menjejak kaki ke sekolah pada Darjah 1. Semakin meningkat usia... cita-cita saya berubah, namun ketika saya mula dewasa...saya tetap memilih profession guru sebagai pilihan utama. Namun, galakan dari insan sekeliling saya, menzahirkan harapan agar saya memilih jurusan doktor perubatan.

Takdir Allah jua yang menempatkan saya semula ke bidang pendidikan selepas seketika saya bergelumang dalam perkhidmatan perubatan dan kesihatan. Satu bidang yang saya pilih selepas berdoa ketika menunaikan umrah satu ketika dahulu.

Walau di mana kedudukan saya pada ketika ini, saya tetap yakin bahawa profession guru merupakan antara bidang yang paling mulia serta dihormati dan diyakini kredibiliti mereka. Kemampuan mereka membimbing dan mendidik pelajar dari tidak tahu kepada tahu serta seterusnya mampu berfikiran secara matang; membolehkan sebahagian besar kita ini mampu mengikut arah objektif pendidikan untuk menjadi manusia yang bermanfaat kepada masyarakat, agama dan negara.

Sebagai pendidik, saya juga dapat mencerap aura dari seorang pendidik yang ikhlas jiwanya, teguh dedikasinya serta berusaha menurut kemampuan demi kebaikan anak-anak didik pelajarnya. Kecekalan seorang guru yang menghormati pelajarnya sebagai insan... untuk diperlaku dan dibimbing sebagai manusia. Jauh sekali meminta-minta untuk diingati atau dihormati... malah tidak pula menadah harap pada hadiah dan saguhati.

Seorang guru saya pernah berkata... sepatah kata guru, itulah guru kita sepanjang hayat. Namun, kemuliaan guru nyata tidak boleh dinafikan apabila dedikasinya menjangkau batas akademik, malah membimbing pelajar sebagai insan dan membawa anak-anak didiknya mengenal Tuhan dan Al Quran.

Saya juga sebenarnya secara jujur bertugas berkongsi ilmu untuk mengingatkan juga diri sendiri, menunaikan sedaya upaya amanah dan tanggungjawab.... tidak mengapa andai tiada terima kasih. Upah mengajar untuk saya telahpun disempurnakan... tiada alasan untuk saya menagih lebih dari itu. Jika ada yang sudi, cukuplah dengan senyum dan kata-kata yang baik dari mereka. Apatah lagi doa... yang merupakan bonus untuk insan yang masih banyak kekurangan seperti saya...

SELAMAT HARI GURU... DOA SAYA SENANTIASA UNTUK SEMUA MEREKA YANG IKHLAS BERTUGAS KERANA ALLAH DAN AKHIRAT..

No comments: