Kelmarin, saya menzirahi seorang sahabat yang lama saya kenal iaitu sejak di zaman universiti. Beliau banyak memberi input dalam pembentukan cara pemikiran saya ketika di zaman itu. Meskipun pola semasa bagaimana kami meneladani cara hidup Islam sedikit berbeza (saya tidak lagi berusrah, sedangkan beliau kekal dengan usrah mingguan), namun ia tidak menjarakkan sama sekali hubungan ukhuwah antara kami.
Perjumpaan petang itu dengan seorang lagi sahabat saya, Tina; berlangsung dengan begitu santai sekali. Namun ungkapan hubungan hati dengan Allah yang mendasari frasa utama serta menjadi 'tagline' zaman usrah dahulu mengingatkan kembali jalan kehidupan yang pernah saya selusuri.
Saya terimbau sekali dengan apa yang pernah saya lalui. Jujur sekali, dalam usia remaja dan awal dewasa dulu..ungkapan itu saya faham secara literal sahaja. Dalam praktis, saya tidak tahu bagaimana untuk mewujudkannya secara realiti sehingga memberikan kesan dalam apa yang saya amalkan. Cuma pernah saya tertanya-tanya...mengapa tiada pembelajaran tentang memahamkan Quran secara intensif jika benar 'jalan usrah' ini adalah jalan para sahabat sebelum ini.
Soalan tersebut dijawab dengan mudah sekali oleh mereka yang saya ajukan persoalan itu. Kata mereka' itu adalah tanggungjawab individu untuk mencarinya'.
Alhamdulillah, sesungguhnya niat kita untuk mencari, pasti Allah mempermudahkan laluan itu menurut apa yang kita niatkan. Sesungguhnya niat di hati saya adalah untuk dekat dengan Quran. Dengan dengan amalan sunnah.
Persoalan itu sebenarnya diizinkan Allah terjawab apabila saya mula intensif belajar tentang Alquran. Bagai bertemu dalam dunia baru...saya terkesima apabila menyedari betapa 'kosong'nya jiwa dan kehidupan saya dari quran dan sunnah pada waktu itu. Pelbagai falsafah bercampur aduk sehingga ayat-ayat Allah tidak dapat sampai ke dalam jiwa secara langsung.
Perubahan sebenar apabila saya mula belajar bahasa arab untuk memahami quran. Saya ikhtiar juga untuk membaca hadith Nabi SAW dari Teks Riadus Salihin. ia merupakan pengalaman yang sangat luar biasa di samping rutin saya mendengar majlis-majlis ilmu.
Berbeza sebenarnya apabila hati dan minda dapat terus berinteraksi dengan isi Alquran dan hadith nabi SAW. Kalimah suci Alquran andai difahami dan ditadabbur.. berlaku secara spontan perubahan emosi penuh keinsafan dengan linangan airmata. Berdasarkan pengalaman..pola perubahan emosi tersebut begitu 'amazing'. Ia bukan ikutan, namun atas kefahaman yang dijalinkan terus ke dalam hati. Saya meyakininya sebagai satu dari mukjizat Alquran.
Itulah sebenarnya konteks hubungan hati dengan Allah. Kefahaman sejati yang kemudiannya diterjemahkan dalam praktis amalan.
Dunia semalam saya yang 'kosong' tanpa realiti itu sebenarnya didasari oleh hati yang tidak memiliki apa-apa. Bagaimana hati yang kosong dapat berinteraksi dengan kalam Allah serta sunnah Nabi SAW? Kita wajarnya berhenti dari berteori..pelajari dan amalkan semuanya menurut konteks sebagai hamba Allah yang sebenarnya.