Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Thursday, February 23, 2017

Pesona kilauan harta dan permata..

Saya tidak bermaksud untuk merendah-rendahkan sesiapa. Jauh sekali untuk menghukum atau menyatakan sesuatu berkenaan pendosa yang berkaitan harta dan permata.

Sungguh dugaan bersaing sesama insan dalam status dan harta merupakan antara mujahadah yang sangat hebat. Jika bukan kerana ikatan aqidah dan motivasi yang Allah pesan dalam Quran mahupun petunjuk sunnah dari nabi Muhammad SAW dan para sahabat serta tabi'in..pastinya delusi demi delusi oleh syaitan yang datang dalam pelbagai rupa mudah menyebabkan tertewasnya jiwa.

Pada usia yang semakin dekat pada pengakhirannya, kita semua sangat pasti akan satu saat ketibaannya. Namun, kedatangan saat  kematian itu masih ghaib, sama seperti janji Allah pada hisab pahala atau dosa, atau pada balasan syurga atau neraka. Ghairah pesona pada bentuk kemegahan yang berupa harta, kemewahan tatkala bercuti di luar negara, atau pada kenderaan mewah yang menawan mata...mengaburi hakikat yang bakal dilalui oleh semua. Demikian juga pada lirik mata atau lisan yang seperti menyindir apa yang kita ada tidak seperti yang ada pada mereka, memberi ilham bicara seolah-olah harta dan permata itu kekal hingga ke bila-bila waktunya.

Bicara malam ini membuka rahsia yang selama ini tidak saya peduli. Rupa-rupanya kemewahan yang mereka raih selama ini, hasil dari pakej demi pakej kecantikan atau awet muda. Bukan perjuangan untuk membantu menyembuhkan mereka yang sakit, atau membantu mereka yang dilanda masalah kesihatan semakin pulih untuk beribadah sebaik-baiknya.

Langsung rasa penghormatan pada kerjaya doktor ini..saya rasa berbaur kelam dengan tamparan hebat pesona wang dan harta. Antara pakej ubat rawatan puluhan ringgit dan pakej kosmetik kecantikan ribuan ringgit, insan itu mengkisahkan kepada saya....biarlah dirinya kekal dalam pakej puluhan ringgit, tak mengapa. Dia tersenyum redha...

Saya beristighfar berkali-kali. Moga saya dan insan yang berkongsi bicaranya dikayakan Allah dengan doa-doa insan yang berkongsi kebaikannya dalam kehidupan sementara ini..


No comments: