Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Friday, September 12, 2014

Perperiksaan akademik yang BUKAN segala-galanya...

Semasa saya di bangku sekolah dahulu, saya sering difahamkan betapa kejayaan dalam sesuatu peperiksaan menjadi kunci untuk kejayaan seseorang dalam fasa kehidupan yang seterusnya. Ia menentukan sama ada terpilih ke sekolah berasarama dan juga penanda aras sebelum dipilih layak masuk ke universiti.

Mungkin fokus akademik lebih 30 tahun dahulu tidak sebegitu kompleks seperti yang tertera di hari ini. Tusyen di zaman saya dahulu adalah opsyen, sedangkan pada hari ini ia menjadi sesuatu yang agak 'compulsory' untuk anak-anak yang menduduki peperiksaan besar.

Saya menyaksikan impak emosi yang nyata berbekas dalam hati dan ingatan apabila keputusan UPSR 2012 untuk anak saya tidak mendapat apa yang diharapkannya. Meskipun berulang-ulang saya nyatakan padanya bahawa saya tidak pernah kisah walau apa jua keputusan yang bakal diperolehi, namun mungkin kerana impak dari motivasi demi motivasi…anak saya seperti merasa bersalah apabila keputusan itu tidak memberikannya keseluruhan A.

Pengalaman itu sebenarnya agak merisaukan saya. Saya berpendapat bahawa UPSR hanyalah satu peperiksaan yang tidak perlu diberikan keutamaan keterlaluan keputusannya, namun jika seseorang berhasrat mnemasuki sekolah menengah yang berkualiti dan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan..ia perlu dihadapi dengan penuh persediaan dan tidak boleh tidak untuknya mendapat markah yang baik. Yang mana saya secara peribadi, tidak pula menyasarkan sedemikian kerana saya lebih suka keadaan pembelajaran yang santai dan anak-anak dalam masa yang sama diperkukuhkan dengan pengetahuan aqidah, quran dan subjek akademik serta sokongan tazkirah utk memperbetulkan akhlak dan adab.

Apabila saya dan suami membuat keputusan untuk memasukkan anak saya kedua yang sepatutnya menduduki peperiksaan UPSR tahun ini ke tingkatan satu di SMITA , saya tidak berminat untuk mengetahui tentang UPSR lagi. Sekurang-kurangnya minda dan emosi saya tenang serta tidak tertekan dengan motivator yang majoritinya saya lihat keterlaluan dalam 'menekan' emosi pelajar untuk dapat A, dapat A dan dapat A.

Peristiwa kebocoran soalan UPSR kali ini bagaimanapun melukakan dan mengganggu semula ketenangan saya. Tumpang bersimnpati pada jiwa anak-anak yang begitu tertekan apabila kertas soalan dibatalkan, peperiksaan disusun semula serta terpaksa menunggu tempoh yang agak lama.

Saya bayangkan berada dalam kedudukan mereka…dengan entah berapa kali ujian latih tubi, tidur berjaga di sekolah serta diberikan motivasi demi motivasi dari seluruh arah dimensi pancaindera dan ruang. Oooh…sukar dibayangkan perasaan mereka selain kekecewaan yang menyedihkan.

Jiwa anak-anak suci dan bersih nilainya. Apa yang mereka mahu hanyalah sesuatu yang terbaik dan membahagiakan diri serta ibu dan ayah dan guru-guru mereka. Apabila dinodai dengan hasilan pengkhianatan amanah yang sangat sukar diterima, saya tidak melihat impak lain selain dari kerosakan demi kerosakan akibat keterluan menyandarkan kejayaan pada sesuatu yang bernama peperiksaan.

Dalam surah Al Haj ayat 73, satu ayat Allah untuk menjelaskan keadaan ini apabila terlalu mengharap pada sesuatu selainNya,



"….betapa dhaifnya yang terlalu mengharap dan betapa dhaifnya apa yang disandarkan harapan padanya"

Peperiksaan akademik bukanlah segala-galanya… doa saya semoga anak-anak yang terlibat diberikan Allah ketenangan untuk terus menghadapinya.

No comments: