Demi manfaat ILMU, kita Bertemu dan Bertamu...

Friday, April 20, 2012

Histeria... gangguan emosi atau gangguan jin?

Sekolah di mana anak-anak saya bersekolah ditutup hari ini berikutan kejadian histeria yang berlaku di kalangan beberapa murid perempuan sehingga menyebabkan perjalanan sekolah seharian tidak begitu lancar.


Histeria jika dilihat dari aspek psikiatri banyak berkait dengan keadaan emosi atau perasaan seseorang yang terganggu serta tertekan dengan kejadian sesuatu. Dalam kedudukan sedemikian, seseorang mampu melihat sesuatu beradasarkan imaginasinya (disebut visual hallucination) sehingga akhirnya percaya benar kewujudan tersebut sehingga memanifestasikan keadaan seperti menjerit, menangis atau mengalami 'kelumpuhan' anggota badan tertentu..sehingga gagal bercakap dan sebagainya..


Saya berpendapat, fokus untuk mempercayai perkara-perkara ghaib berkaitan aqidah yang benar perlu diutama dan diperkukuhkan dalam hati dan minda anak-anak. Hakikat yang perlu kita takut dalam kehidupan ini ialah sebenarnya takut melakukan maksiat dan dosa, takut akan balasan Allah ketika di barzakh (kubur) atau neraka tidak terperi jika mengabaikan waktu kehidupan di dunia.

Namun, sebahagian anak-anak kita ini lebih takut pada hantu dan segala macam makhluk halus, dan sangat percaya betapa manusia yang mati akan menjadi hantu (hantu pochong, pontianak.... dan sebagainya) , malah kematian diasosiasikan pula dengan kukuh akan kejadian menjadi hantu yang akan 'menyerang' dan menakut-nakutkan manusia penuh mistik dan misteri... diperkuatkan pula dengan pelbagai drama atau sandiwara dalam TV yang nyata merosakkan aqidah yang benar.


Saya berpendapat juga, ikon-ikon yang mempunyai kefahaman tentang agama perlu menyampaikan hakikat sebenar apa yang diajar melalui firman Allah dalam Al Quran serta terjemahan yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud,
Dn bahawasanya ada beberapa lelaki di kalangan manusia yang meminta perlindungan dari laki-laki di kalangan jin, maka jin-jin itu menambahkan mereka melakukan dosa dan kesalahan" (Al Jin ayat 6)

" Katakanlah, Tuhanku menyuruhku berlaku adil. Dan katakanlah, Luruskanlah mukamu dengan mendirikan solat di masjid-masjid dan serulah (berdoalah) dengan ikhlas kepadaNya sepertimana pada permulaan kamu diciptakan.

Sebahagian diberi petunjuk dan sebahagian lagi diberi kesesatan bagi mereka. Sesungguhnya mereka menjadikan syaitan-syaitan sebagai pelindung selain Allah, dan mereka mengira mereka mendapat petunjuk" (Al A'raf ayat 29-30).

Sesungguhnya,

1. Anak-anak perlu dijaga hatinya, serta diberi perhatian akan pergaulan dan pendedahan mereka dari unsur-unsur karut dan boleh menjejaskan aqidah; jangan dibenarkan mereka menonton kisah-kisah seram yang merosakkan iman dan fikiran.

2. Anak-anak juga perlu diajar sopan dan kebersihan, elakkan najis atau darah haidh (period) bersepah di dalam tandas sehingga menyebabkan tandas menjadi tumpuan makhluk-makhluk seperti syaitan/ iblis yang menjadikan tempat berkenaan sebagai tempat persinggahan kesukaan mereka.

3. Anak-anak juga perlu ditekankan pendidikan dengan solat yang bersungguh-sungguh serta doa kepada Allah, mengharap semata-mata kepada Allah dalam setiap usaha yang dilakukan.


Kepercayaan menebal antara unsur mitos dan fakta aqidah; serta asmaul husna yang tidak disungguhkan dalam kehidupan, menyebabkan sebahagian individu yang dilihat memiliki kefahaman terus 'melompat' kepada diagnosis gangguan jin setiap kali episod histeria berlaku.. mereka ini pula yang dilihat bertanggungjawab menebalkan lagi kefahaman begitu 'berkuasanya' jin dan syaitan!

Nyatanya, saya tidak mampu berbuat apa-apa dalam memberikan bantuan dalam kejadian semalam kerana 'pegangan' terlalu kuat mempercayai begitu 'berkuasanya' jin mengganggu manusia membawa pandangan saya 'tersisih' berbanding insan yang dipandang begitu 'power' dengan perubatan jin..Wallahua'lam..

No comments: